PERUTUSAN HARI GURU
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera
Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dihormati sekalian,
1. Alhamdullilah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
izin dan limpah kurniaNya, sekali lagi kita dapat menyambut perayaan Hari
Guru pada 16 Mei 2009. Pada hari ini, kita akan bersama-sama
merayakan hari yang amat istimewa bagi setiap warga pendidik. Semenjak
tahun 1972, sambutan Hari Guru merupakan hari yang sangat bermakna
buat kita bagi menghargai sumbangan, komitmen dan pengorbanan warga
guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan negara
dan perkhidmatan kepada masyarakat untuk membentuk anak-anak
bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
2. Sehubungan itu suka saya nyatakan di sini, tema sambutan Hari
Guru pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” amat sesuai dan
bertepatan dengan tuntutan persekitaran yang menuntut pembangunan
warganegara sejak awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan
cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya juga
kesenian bangsa. Dalam masa yang sama, anak-anak didik juga perlu
dipersiapkan agar bersedia menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi
serta liberalisasi. Justeru, para guru perlu melaksanakan tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik pada setiap masa bagi
memenuhi keperluan dan harapan negara ke arah membangunkan modal
insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika serta
memupuk dan menanamkan sifat toleransi dalam kalangan pelajar bagi
melahirkan masyarakat bersatu padu yang harmoni dan bertolak ansur.
3. Saya percaya peranan guru sebagai jurutera sosial dan agen
perubahan adalah sangat dituntut demi mencapai matlamat yang diingini
oleh negara. Sebagaimana yang kita maklum, peranan guru bukan sahaja
mengajar mata pelajaran yang ditugaskan tetapi juga mendidik minda dan
membina sahsiah pelajar. Masa hadapan pelajar, malah masa hadapan
bangsa dan negara adalah ditentukan oleh corak didikan yang disemai
oleh guru-guru hari ini. Menyedari hakikat tersebut, Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah menetapkan ‘Membina
Negara Bangsa’ sebagai satu daripada enam teras utama bagi negara
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah
terletaknya tanggungjawab dan harapan untuk membangunkan modal
insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju.
Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,
4. Saya ingin menegaskan bahawa guru sebagai pendidik telah terbukti
memainkan peranan utama dalam membina negara bangsa. Para guru
perlulah berfikiran global dan bertindak secara terarah dengan menjadikan
bidang keguruan sebagai wadah untuk membentuk warganegara dengan
ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia. Adalah menjadi harapan
masyarakat, para guru memainkan peranan membentuk jati diri murid
yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh
kepada ajaran agama dan nilai sejagat, seterusnya menjadikan anak didik
sebagai warganegara glokal yang mampu bersaing seiring dengan
kepesatan dunia. Justeru, negara akan hilang daya saing dan ketinggalan
dari kemajuan global sekiranya para guru tidak menjalankan tugas secara
jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.
5. Dalam usaha meningkatkan perpaduan berbilang kaum, di peringkat
awal persekolahan lagi kita telah memupuk jati diri murid melalui kurikulum,
program ko-kurikulum dan sukan. Sehubungan itu, guru sebagai pendidik
perlu memastikan diri mereka bersedia untuk berusaha lebih inovatif,
proaktif, mampu mencipta kelainan dan menjadi contoh teladan yang baik
untuk memupuk nilai-nilai jati diri kepada murid-murid menerusi proses
pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini tentunya menuntut perancangan
dan pelaksanaan yang cekap daripada para guru agar pendidikan mampu
menjadi wahana perpaduan yang berkesan.
6. Di samping itu, kecekapan dan keberkesanan guru juga dituntut
menerusi aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik,
menanamkan sifat hormat-menghormati dan peka terhadap sensitiviti
masyarakat pelbagai kaum. Pelaksanaan program-program ini menuntut
kerjasama dan komitmen guru untuk menerapkan elemen perpaduan dan
ini membuktikan bahawa sekolah adalah tapak semaian yang terbaik untuk
menyuburkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di
negara ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan
ribuan terima kasih kepada para guru atas kerjasama dan komitmen yang
telah diberikan selama ini. Saya percaya para guru akan sentiasa berusaha
dan beriltizam untuk melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan agar
ianya mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan kita.
7. Seterusnya dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar
ini, negara amat memerlukan modal insan berkualiti yang boleh menggalas
aspirasi serta misi nasional ke arah mencapai status negara maju
menjelang tahun 2020. Dalam konteks ini, sebagai pendidik yang
berdedikasi dan sentiasa bersedia menerima perubahan, guru adalah
pemangkin kepada transformasi yang diperkenal dan dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran dalam memenuhi agenda pendidikan ke arah
melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,
8. Akhir kata sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya
berharap agar warga guru hendaklah sentiasa mempunyai sifat dedikasi
dan komited semasa menjalankan tugas masing-masing. Segala yang
tuan-tuan dan puan-puan lakukan adalah demi kepentingan pendidikan anak-anak kita, demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan
berketerampilan. Ketepikan kepentingan diri, berkhidmatlah dengan penuh
jujur dan ikhlas serta sentiasa menjaga integriti dan nama baik. Sekiranya
warga guru tidak mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi,
bagaimana kita mengharapkan generasi yang baik dan berkualiti hasil
daripada acuan didikan kita akan dapat dikeluarkan.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi
Wabarakatuh dan salam sejahtera. Selamat Hari Guru.
DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Read more...